18 February 2009

Antara Prinsip Ketaatan Dan Prinsip Musyawarah

Ketika Ratu Balqis menerima sepucuk surat daripada Raja Sulaiman a.s, ratu itu telah bermesyuarat terlebih dahulu dengan mengumpulkan pendapat berhubung pendirian yang harus ditegakkan untuk mendepani seruan Tauhid oleh raja Bani Israel tersebut.


Ratu Balqis menyedari akan perihal kekuatan bala tentera Raja Sulaiman. Ratu telah mendengar kekuasaan dan kekuatan Raja Sulaiman itu bukan calang-calang. Bani Israel itu pernah ditakluk Jalut. Kemudian dibangkitkan Talut untuk mendepani Jalut.


Setelah itu, Jalut terbunuh oleh salah seorang tentera bernama Daud. Dan dengan kerana itulah Daud akhirnya diangkat sebagai raja yang bijaksana. Kini, anaknya Sulaiman telah mengambil takhta dan kedudukannya sebagai raja Bani Israel yang baru.


Ratu Balqis pernah mendengar kehebatan Daud. Baginda boleh melembutkan besi keras dengan tangannya. Tetapi, Daud juga gemar bersuluk sendirian menyanyikan lagu pujian kepada Tuhan dengan kitab Zabur (Mazmur).


Suaranya yang gemersik itu menyebabkan haiwan dan burung-burung yang berterbangan menjadi jinak, terpaku lalu ikut sama bertasbih mengelilingi Daud tatkala gurindam lagu pujian kemesraan kepada Tuhan itu didendangkan.


Pada zaman anak Daud, iaitu Sulaiman, burung-burung itulah yang menjadi bala tentera anak-anaknya. Sulaiman memahami jalan bahasa haiwan.


Dan, tadi Ratu Balqis telah menerima sepucuk surat daripada burung Hud Hud yang kini diangkat sebagai 'wartawan ' baru bagi mewakili Raja Sulaiman itu.

15 February 2009

Nilai-nilai Kepimpinan Islam

"Semulia-mulia manusia ialah orang yang mempunyai adab yang merendah diri ketika berkedudukan tinggi, memaaf ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat." (Kata hikmah Khalifah Abdul Malik bin Marwan)

Kata-kata ini saya catit di cafe Kolej Tun Hussein Onn (KTHO), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini. Di sini, kita mendapat beberapa pengajaran..

Pertama, merendah diri ketika berkedudukan tinggi. Kedua, memiliki sikap pemaaf saat mampu membalas dendam. Ketiga, bersikap adil ketika kuat.

Sebenarnya, ketiga-tiga nilai dan adab kesopanan seseorang penguasa ini sangatlah sukar untuk dilaksanakan. Ketiga-tiga nilai itu adalah merendah diri, pemaaf dan adil.

Sebelum kita melanjutkan perbahasan, ada baiknya juga kita mengenali peribadi Khalifah Abdul Malik bin Marwan ini secara ringkasnya.

Sedikit ringkasan berhubung Abdul Malik bin Marwan

Khalifah Abdul Malik bin Marwan dilahirkan pada tahun 26 Hijrah (646 Masihi). Ibunya bernama Aisya bt. Mu'awiyah b. al-Mughira.

Ketika beliau berusia 16 tahun, Abdul Malik b. Marwan telah mengetuai pasukan tentera Madinah melawan Byzantine ketika pemerintahan Mu'awiyah.

Beliau adalah khalifah Bani Umayyah yang kelima yang memerintah dari tahun 65 Hijrah - 86 Hijrah (685 - 705 Masihi).

Khalifah Abdul Malik b. Marwan sempat melakukan pembaharuan seperti mengeluarkan matawang mas, mengumpul kembali Mushaf Uthman, dan lain-lain. Pada akhir hayatnya, Abdul Malik b. Marwan berhasrat melantik anaknya Al-Walid bin Abdul Malik sebagai Khalifah. Pada zamannya juga Qubbat As-Sakhrah telah dibina di Baitulmuqaddis.

Tidak diketahui apakah yang menyebabkan Khalifah Abdul Malik bin Marwan menyebut tiga perkara ini. Dan, yang paling penting, kepada siapakah ia ditujukan?

Merendah diri pada kedudukan tinggi

Mari kita teliti bersama. Pada ketika seseorang penguasa itu berada pada kedudukan yang sangat tinggi, mudahkah dia merendah diri?

Mungkin ada yang masih dapat merendah diri, tapi tak ramai penguasa yang boleh dengar pandangan orang ketika mereka sudah berada di puncak kekuasaan. Rata-ratanya, mereka melihat pandangan orang bawahan itu bagaikan sampah.

Turun padang tidak menggambarkan sikap merendah diri. Pada zaman ini, politikus hebat berlakon. Penguasa turun padang, beramah mesra dan berjabat tangan dengan rakyat. Hal ini masih belum menunjukkan mereka merendah diri.

Merendah diri itu bukanlah dengan jalan tunduk, terbongkok-bongkok di hadapan tetamu, bersuara lembut dan lunak kepada khalayak. Tetapi, ia dinilai dalam mesyuarat dan syura antara komuniti masyarakatnya. Adakah mereka boleh dengar pendapat bawahan?

Jadi, jalan turun padang, bersalaman dengan orang-ramai seperti yang ditunjukkan dalam tv itu bukan kayu ukur yang kuat, untuk mengesahkan sikap, af'al merendah diri.

Apalah ertinya Hishammuddin Tun Hussein turun padang, bersalaman dengan guru-guru sekolah, tetapi raungan guru-guru, ibu bapa, murid-murid yang mendesak supaya PPSMI dimansuhkan tidak dipedulikan beliau.

Kalau dibuat pungutan suara di sekolah-sekolah rendah, nescaya Hisham akan mendapati bahawa kebanyakan pelajar dan guru-guru tak merelakan matapelajaran mereka dicemari oleh dasar PPSMI yang tertegak, dibangunkan tanpa dasar teori yang kukuh itu.

Bekas Menteri Pelajaran Tun Abdul Rahman Yaakob dalam satu kenyataannya baru-baru ini berkata beliau membantah keras dasar PPSMI ini.

Kalau Hishammuddin benar-benar punya sikap merendah diri tentulah dia bermuzakarah, berdebat dengan bekas menteri pelajaran; Tun Abdul Rahman Yaakob seperti mana debat mengenai kenaikan harga minyak melibatkan Anwar dan Shabery Cheek di TV9.

Tapi, jika diwujudkan usaha untuk berdebat seperti itu pun, Hisham tentu tak akan pergi. Pertama, dia takut. Kedua, beliau tidak dapat merendah diri seperti sepupunya Najib yang enggan berdebat dengan Anwar tentang isu kenaikan harga minyak dahulu.

Memaafkan musuh ketika berdaya membalas

Sikap kedua ialah, memaafkan musuh ketika berkuasa. Jika hal ini terlaksana, rakyat kita pasti bertambah lega dan aman. Ini kerana, telah wujud kecenderungan di pihak penguasa untuk menghukum rakyat apabila mereka tidak dipilih oleh rakyat.

Dalam mana-mana keadaan, kita dapat melihat bahawa kebanyakan penguasa berdendam dengan rakyatnya. Dan dengan sebab itulah rakyat jadi berdendam dengan penguasa.

Tidak dapat tidak, kita mesti mengakui bahawa sahabat-sahabat nabilah antara yang amat baik dijadikan contoh teladan dalam hal ini. Saidina Ali k.w misalnya pernah dalam suatu peperangan, beliau hampir membunuh seorang Yahudi.

Demi melihat Yahudi itu meludah ke arah wajahnya, maka Ali tak jadi membunuh. Maka hal itu tentu sahaja membenihkan pertanyaan dalam dadanya.

"Apa yang menyebabkan engkau tidak jadi membunuhku?" tanya lelaki itu.

Maka, jawab Ali, "Kami diperintahkan berperang di jalan Allah. Tapi, saat kau meludahi wajahku, aku khuatir membunuhmu kerana dendam dan bukan kerana Allah."

Terpesona dengan perawakan dan kejernihan hati si sahabat yang dibina peribadinya oleh madrasah Rasulullah itu, maka si Yahudi pun mula lembut hatinya memeluk Islam.

Sebelum dilantik sebagai khalifah, Sayyidina Ali k.w telah menunjukkan sifat mulia, iaitu memaafkan musuhnya ketika beliau terdaya membalasnya.

Ternyata, ada riwayat gelap dalam sejarah Islam menjelang berlakunya bertukaran antara Bani Umaiyyah dan Bani Abbasiyyah. Habis kawasan perkuburan khalifah-khalifah Bani Umaiyyah dimusnahkan setelah Bani Abbasiyyah berkuasa.

Antara yang terselamat dalam gempuran itu ialah kubur Umar Abdul Aziz. Oleh kerana pemerintahannya adil, maka golongan Abbasiah menghormatinya selepas kematiannya. Ternyata, ketika berkuasa memang sulit menahan diri daripada membalas dendam.

Bersikap adil ketika kuat

Sikap ketiga ialah adil ketika kuat dalam menjalankan pemerintahan. Dalam contoh yang terjadi dalam negara kita ialah bentuk hubungan kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Jadi, oleh kerana perbezaan politik, kerajaan pusat lazimnya tidak dapat berlaku adil.

Apatah lagi, jika hal itu melibatkan wang, agihan ekonomi yang sepatutnya diterima oleh negeri yang diperintah pihak parti alternatif. Mereka masih lagi sukar mendapatkan wang peruntukan daripada kerajaan pusat.

Sebaliknya, kerajaan negeri cuba memberikan peruntukan ke atas wakil rakyat kerajaan pusat, namun hal itu ditolak oleh mereka dengan alasan yang bukan-bukan.

Contohnya, Dato' Azhar Ibrahim, Ketua Pembangkang Pulau Pinang pada 14 November lalu menolak elaun RM1,000 sebulan dengan alasan bahawa dia tak mahu membazirkan wang rakyat walaupun pada hakikatnya Umno punya rekod buruk dalam membazirkan wang rakyat sebelum ini.

Antara lain, dakwa beliau, beliau tidak mahu terhutang budi. Ini satu fahaman yang silap. Elaun tersebut diberikan supaya dapat dia pulangkan wang itu untuk rakyat juga, bukan untuk dirinya sendiri.

Samada beliau berbuat demikian untuk mendapat simpati orang-ramai atau elaun itu tidak mencukupi baginya, Allahu'alam.. Tapi, apa yang pasti ialah, kerajaan Pulau Pinang yang beriltizam mencontohi sikap Umar Abdul Aziz telah cuba memberikan keadilan terhadap lawan parti politik mereka melalui peruntukan itu.

Kita tak perlu meninjau sikap para pemimpin terdahulu untuk muhasabah, cukup melalui apa sahaja contoh yang terbentang di depan mata kita. Kita tidak perlu beramal dengan isi al-Qur'an secara keseluruhan untuk menjadi pemimpin yang terbaik. Cukup dengan cara melihat apakah kita mampu melaksanakan pesan Abdul Malik bin Marwan itu?

12 February 2009

Wasiat ke-6 al-Banna, Jangan Banyak Bergurau

Janganlah bergurau kerana umat yang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara, demikian wasiat Hasan al-Banna. 

Selepas mewasiatkan supaya kita tak banyak ketawa, maka asy-Syahid Imam Hasan al-Banna menyeru umat Islam yang benar-benar ingin berdakwah dan berjihad di jalan Allah agar tidak banyak bergurau dalam pergaulan sehariannya. 

Menurut beliau, umat yang berjuang itu selalu sibuk bermuhasabah mengenai masalah yang dihadapi oleh umat Islam. Masalah yang membelenggu umat Islam terlalu banyak, sedangkan mereka yang ingin menyelesaikan masalah tersebut tidak ramai.

Sekiranya umat Islam banyak bergurau maka sudah pastilah masalah-masalah umat Islam itu tidak mudah diselesaikan. Sebab itulah beliau menyeru kita agar sentiasa bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.

11 February 2009

Tazkirah : Benarkah Kita Berada Di Zaman Yang Penuh Dengan Pelbagai Fitnah?

Sesungguhnya fitnah merupakan satu elemen yang cukup bahaya, apatah lagi fitnah terhadap agama yang boleh menjurus kepada hukum membunuh, kerana al-Quran ada menegaskan bahawa fitnah itu lebih dahsyat daripada pembunuhan. (maksud ayat 191 dan 217 surah al-Baqarah).


Baginda Rasulullah s.a.w. pernah menegaskan dalam salah satu hadisnya yang bermaksud : “Bersegeralah lakukan amalan-amalan yang baik-baik (jika ia di waktu siang jangan tunggu hingga menjelang malam yang gelap gelita), kerana ia akan menimbulkan fitnah, seperti seorang lelaki di mana pada waktu pagi dia seorang muslim dan apabila menjelang petang atau malam dia menjadi seorang kafir pula, dia menjual agama kerana kepentingan dunia yang terlalu sedikit.” Hadis Sohih riwayat Imam Ahmad, Muslim dan Tirmizi daripada Abu Hurairah.


Apa yang dijelaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. menerusi hadis di atas ialah terdapat orang Islam sendiri yang melakukan fitnah dengan tindakannya terhadap agamanya sendiri semata-mata mengecapi habuan dan janji dunia yang bersifat sementara, sedangkan fitnah yang dilakukannya benar-benar mencabar agama yang dianutinya dan menjadi bahaya kepada pegangan akidah dan kepercayaan kepada Allah SWT selaku Pencipta alam maya ini.


Fitnah yang terjadi itu boleh berlaku kerana orang yang terlibat itu sama ada benar-benar tidak memahami atau memiliki ilmu-ilmu fardu ain ataupun kerana berhasrat meraih kepentingan dengan penampilan agama, atau memang di kalangan orang-orang munafiq, ketiga-tiga kategori manusia itu dianggap golongan yang jahat kerana mahu memburukkan Islam.


Jenis-Jenis Fitnah Terhadap Agama Islam


1- Fitnah melalui kepimpinan negara.


2- Fitnah dalam belajar kerana mahu dapat jawatan.


3- Fitnah melalui penampilan diri dan cara berpakaian.


4- Fitnah melalui ungkapan.


5- Fitnah melalui penulisan.


6- Fitnah melalui iklan produk.


7- Fitnah melalui penglibatan dalam sukan dan hiburan.


8- Fitnah berbangga kerana berjaya memperbanyakkan bilangan masjid.


9- Fitnah kerana meninggalkan kewajiban beribadat.


10- Fitnah kerana tidak menunjukkan akhlak Islam yang mulia. Fitnah..oh fitnah..dan banyak lagi.


1- Fitnah Melalui Kepimpinan Negara.


Terdapat para pemimpin negara-negara umat Islam, yang tidak segan silu untuk mengisytiharkan bahawa mereka telah melaksanakan undang-undang Islam dalam pentadbiran negara dan boleh dikatakan negara mereka adalah sebuah Negara Islam, sedangkan pada masa mereka mentadbir dengan sistem Sekular, Kapitalis, Sosialis dan lain-lain.


Yang tidak menampakkan Islam secara jelas, isteri-isteri mereka tidak memakai hijab (tudung kepala) serta menutup aurat dengan sempurna, tidakkah tindakan mereka itu telah memfitnah Islam secara langsung di hadapan orang-orang bukan Islam yang keliru dan terus keliru.


2- Fitnah Dalam Belajar Kerana Mahu Dapat Jawatan.


Tidak kurang juga terdapat golongan ahli ilmu agama ketika sedang menuntut satu ketika dahulu, telah menanam hasrat untuk lulus cemerlang agar pulang nanti ditawarkan jawatan yang selesa, tetapi pada masa yang sama mereka lupa bahawa ketika menyandang jawatan penting di jabatan keagamaan, mereka tidak menjalankan tugas dengan sempurna, membiarkan perkara mungkar terus berlaku (takut nak tegur kerana bimbang tidak dinaikkan pangkat atau ditukar ke jabatan lain).


Tidak cukup dengan itu, idea untuk menyatakan perkara-perkara makruf agar jadi program utama pun terkadang-kadang tidak berani untuk dilakukan, bimbang dilabel golongan yang melawan pihak atasan, akhirnya masyarakat jadi keliru kerana golongan ahli agama pun bercakap tidak serupa bikin.


3- Fitnah Melalui Penampilan Diri Dan Cara Berpakaian.


Disebabkan kerana kurang pendedahan maklumat agama, sama ada tidak mahu duduk dalam majlis ilmu agama atau ceramah, maka ramai di kalangan orang Islam dalam negara Malaysia ini memperlihatkan penampilan diri mereka benar-benar tidak Islamik langsung.


Ada di kalangan golongan remaja Islam yang bertatoo, menampakkan pusat (perempuan), bergelang tangan, berantai dan bertindik (yang lelaki), mencukur bulu kening, memakai rambut palsu, yang perempuan menyerupai lelaki atau yang lelaki menyerupai perempuan.


Cara bercakap seperti orang bukan Islam, berlepak, merempit tanpa hala tuju hidup, mendurhaka dan melukai perasaan kepada ibu bapa, menyakiti jiran dan banyak, tidakkah semua tindakan itu fitnah terhadap Islam, kerana Islam tidak pernah mengajar penganutnya berbuat demikian.


4- Fitnah Melalui Ungkapan.


Terdapat di kalangan orang Islam yang memfitnah Islam dengan ungkapan mereka seperti kata-kata : Islam tidak relevan pada zaman orang mengejar Sains dan Teknologi, undang-undang Islam seperti hudud, qisas, takzir dan lain-lain sudah tidak sesuai pada hari ini, ia hanya boleh dilaksanakan di padang pasir di zaman Rasulullah s.a.w.


5- Fitnah Melalui Penulisan.


Terdapat juga segelintir penulis yang pro aliran songsang yang memperlekeh hukum-hukum Islam dalam blog, rencana atau buku-buku tulisan mereka, ia disifatkan sebagai satu tindakan berani kerana mereka tahu bahawa tindakan itu tidak akan dikenakan apa-apa.


6- Fitnah Melalui Iklan Produk.


Satu lagi fitnah yang tidak dapat dikawal akibat kelemahan para pemimpin negara ialah kecenderung syarikat-syarikat mempromosi produk mereka dengan menggunakan khidmat model-model Melayu/Islam, ada yang mendedahkan aurat, kepala semata-mata untuk menunjukkan bahawa produk mereka cukup berkesan tiada tompok-tompok hitam di badan model.


7- Fitnah Melalui Penglibatan Dalam Sukan Dan Hiburan.


Para atlet negara termasuk yang angkat berat disertai atlet muslimah yang cukup menggiurkan ketika menunjukkan aksi mengangkat berta, termauk dalam sukan jimrama, renang, hoki dan lain-lain.


Begitu juga pendedahan aurat di kalangan penghibur seperti penyanyi, pelakon, pelawak wanita juga tidak kurang yang memakai pakaian yang tidak sesuai dengan jenama mereka sebagai orang Islam. Semua itu dianggap memfitnah Islam kerana menggambarkan seolah-olah Islam membenarkan tindakan itu.


8- Fitnah Berbangga Kerana Berjaya Memperbanyakkan Bilangan Masjid.


Satu lagi fitnah di akhir zaman ini ialah terlalu berbangga dengan bilangan masjid yang banyak, tetapi kosong dengan pengajian agama, malah terdapat pula replica masjid yang menelan blanja jutaan ringgit tetapi tidak boleh solat Jumaat di dalamnya.


9- Fitnah Kerana Meninggalkan Kewajiban Beribadat.


Ramai di kalangan pekerja Islam, bukan yang menceburi bidang binaan, yang bekerja dalam bilik berhawa dingin pun tidak melakukan solat fardu atau Jumaat, terdapat scenario di mana ada pekerja muslim di sebuah kilang ditegur majikan yang bukan Islam mengapa mereka tidak pergi menunaikan solat Jumaat.


10- Fitnah Kerana Tidak Menunjukkan Akhlak Islam Yang Mulia.


Disebabkan tidak menguasai dengan baik ilmu-ilmu fardu ain, maka ramai di kalangan individu Islam tidak bercakap benar, melakukan pecah amanah berjuta ringgit, rasuah, penipuan, menggelapkan wang tabung haji dan sebagainya, menunjukkan sikap dan akhlak orang Islam sangat kritikal, sekali gus ia memfitnah agama Islam yang suci.
Sesungguhnya mereka itu semua berdosa di hadapan Allah kerana tidak menunjukkan sesuatu tindakan yang baik terutama kepada golongan yang lebih muda ataupun di kalangan bukan Islam yang merasakan Islam menjana kegiatan yang tidak bermoral.


Justeru, asas kepada pengukuhan jati diri muslim bersama agama Islam dalam apa jua keadaan, sama ada ketika Islam berada di puncak atau sedang berada di bawah, namun dia tidak akan berganjak walau setapak pun kerana begitu yakin bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang diperakui benar di sisi Allah SWT.

06 February 2009

Wasiat Ke-5 Al-Banna, Kurangkanlah Ketawa

Jangan banyak ketawa sebab hati yang selalu berkomunikasi dengan Allah (zikir) sangat tenang dan tenteram. Hasan al-Banna.

Ada riwayat yang menunjukkan bahawa kebanyakan ketawanya ialah dengan tersenyum, dan apabila baginda ketawa, baginda ketawa seperti embun yang dingin. Sementara itu, ada juga riwayat yang menyebutkan bahawa ketawa Rasulullah tidak menunjukkan gigi.

Bagaimanapun, semua perlakuan itu cuma sekadar mengingatkan umat Islam selaku umat pendakwah bahawa gurauan, ketawa itu cuma amalan untuk mengurangi ketegangan jiwa.

Saidina Ali k.w juga menyebutkan bahawa sesekali kita perlu bergurau untuk menyebabkan jiwa rasa terhibur. Tetapi, ini tidak bererti kita perlu berhibur secara keterlaluan.

Maka, Hasan al-Banna telah menyusun dan merintis semula faham ini dengan meletakkan suatu pesanan yang sangat berguna kepada para dai'e dan Muslimin yang beriltizam dengan agama Islam ini.

Al-Banna tidaklah sampai mengharamkan gurauan dan ketawa. Namun, beliau seperti baginda Rasulullah s.a.w dan Saidina Ali, telah menyeru dan memperbaharui seruan melalui wasiatnya supaya umat Islam ini kurangkan bergurau dan melebihkan amalan dan tindakan.

Ini kerana, gurauan dan gelak ketawa yang berlebihan boleh mamatikan hati dan fikiran daripada memikirkan nasib dan permasalahan umat Islam yang menderita akibat penjajahan yang berterusan.

Tetapi, jika kita berterusan hidup dalam ketegangan, hal ini akan menyebabkan kerungsingan, kerisauan yang akhirnya mengundang kesan kejiwaan yang parah pula.

Maka, sikap yang terbaik dalam hal ini ialah kita mewakafkan lebih banyak masa untuk memikirkan serta menyusun tindakan bagi menyelesaikan permasalahan umat Islam. Selebihnya, saki-baki waktu itu diluang untuk merehatkan jiwa, hati dan fikiran kita setelah penat bekerja dalam seharian.

Atau jika masa dan kehidupan ini boleh kita pecahkan dalam bentuk peratusan, maka bolehlah diandaikan seperti ini. Iaitu, masa dan kehidupan untuk berfikir dalam hal permasalahan umat Islam ini ialah 70 peratus, manakala baki masa 30 peratus lagi adalah untuk senda gurauan.

Bagaimanapun, peratusan ini hanyalah sebagai gambaran kepada betapa pentingnya seseorang Muslim itu hidup di atas muka bumi ini untuk memperuntukkan kebanyakan masanya ke arah hal yang lebih berfaedah. Sementara, hal gurau senda dan bergelak ketawa itu hanyalah sekadar sedikit sahaja.

Muhasabah

Maka, marilah kita sebagai Muslim yang ingin mencapai kebaikan di dunia dan di akhirat bermuhasabah mengenai kehidupan seharian kita sendiri. Dalam tempoh 24 jam, berapa banyakkah masa yang kita wakafkan untuk Islam dan Muslimin? Berapa banyakkah masa yang kita gunakan untuk kepentingan masyarakat?

Beruntunglah bagi Muslimin yang banyak meluangkan masa untuk membaca, menghadiri bengkel-bengkel ilmiah dan sebagainya lagi. Jika sebaliknya, maka tergolonglah mereka dalam kalangan mereka yang rugi.

Cabaran untuk membina sebuah masyarakat yang benar-benar memanfaatkan waktunya ke arah kebaikan sangat hebat. Dengan hiburan yang melampau-lampau dalam masyarakat kita hari ini, ditambah pula dengan kurangnya agamawan yang mahir dalam selok-belok penyiaran televisyen, rasa-rasanya agak mustahil kita lakukan semua ini.

Sekiranya lebih ramai agamawan yang mahir dalam bidang pembikinan media elektronik, maka kemungkinan besar masa-masa yang berkualiti dalam kalangan masyarakat kita akan dapat dipertingkatkan.

Sistem kehidupan bekerja yang dicipta oleh negara kita dan masyarakat antarabangsa pada hari ini ialah jumlah jam bekerja selama 8 jam (9 pagi sehingga 5 petang). Selepas tempoh bekerja, sekurang-kurangnya masyarakat kita akan berada di rumah dan meluangkan waktu bersama keluarga dengan mononton televisyen.

Namun, sayangnya acara-acara hiburan itu dikuasai oleh golongan pengkarya yang melebihkan unsur hiburan, lagho sahaja. Jika ada acara-acara tv yang bermotifkan keagamaan sekali pun, jumlahnya sangat sedikit dan terhad.

Atau, dalam erti kata lain, barangkali kita boleh misalkan begini..

Iaitu program hiburan, filem, drama, nyanyian dan lain-lainnya adalah hampir 80 peratus, dan selebihnya yang berjumlah 20 peratus lagi diperuntukkan kepada program-program yang bersifat keagamaan.

Ditinjau dari sudut ini, akan tercapaikan hasrat, wasiat dan pesanan Rasulullah s.a.w, Saidina Ali k.w dan Hasan al-Banna? Maka, terletak kepada kitalah insan Muslim yang sedar untuk mengubah semua ini supaya masyarakat kita ini akan melebihkan banyak waktunya yang berkualiti.

Iaitu, biarlah mereka lebih banyak didedahkan dengan program-program bermanfaat dan selebihnya adalah program-program yang bersifat santai sahaja.

Carilah Jodoh Beragama, Sabda Rasulullah s.a.w

Rasulullah s.a.w pernah bersabda, "Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana harta, kerana keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah diutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia."

Hadith ini telah diriwayatkan oleh kedua-kedua Imam Bukhari dan Imam Muslim dalam kitab sahih mereka serta imam hadis yang lain.

Ada empat nilai dan ciri wanita yang dipilih untuk dijadikan pasangan jodoh bagi lelaki. Meninjau hadis ini, terpantul beberapa pertanyaan di fikiran kita. Antaranya, apakah kaum wanita tidak berhak membuat pilihan yang sama?

Sedangkan al-Quran meletakkan kedudukan lelaki dan wanita itu sama. Dan, beza fizikal serta mental antara mereka itulah yang menyebabkan wujudnya beberapa perbezaan, cara syariat antara mereka.

Timbul persoalan.. apakah wanita tidak memiliki hak yang sama untuk memilih pasangan mereka berdasarkan keempat-empat ciri itu? Contohnya, mereka sendiri berhak memilih lelaki yang berharta, berketurunan baik, kacak dan taat beragama.

Maka, jawapannya..wanita sendiri juga berhak menentukan pilihan jodoh masing-masing kerana daripada segi hak, mereka mempunyai jiwa, perasaan dan citarasa yang sama juga seperti kaum lelaki.

Berharta

Syor supaya menikahi wanita berharta ini, jika tidak ditafsirkan dengan betul-betul akan menyebabkan orang menganggap bahawa lelaki yang tidak berharta (miskin) digalakkan menikahi wanita hartawan. Ini menyebabkan lelaki disifatkan sebagai pengikis harta!

Demikian juga, jika dikatakan, bahawa wanita itu digalakkan untuk menikahi lelaki yang berharta, kelak wanita itu digelar sebagai perempuan yang mengejar kebendaan pula.

Sementara itu, bukankah janda-janda, balu-balu miskin yang tak terbela digalakkan untuk dinikahi untuk membela nasib mereka? Maka, di sini sudah ada percanggahan sikap dan nilai yang dianjurkan oleh Islam itu.

Jadi, apakah tafsiran yang mungkin sesuai ke atas syor Rasulullah ketika menggalakkan lelaki memiliki wanita yang berharta itu?

Atau, apakah tafsiran yang sesuai berhubung galakan dan anjuran supaya wanita memilih kaum Adam yang berharta itu?

Mungkin, tafsiran yang sesuai adalah baik lelaki dan wanita itu perlu mencari pasangan yang tahu mengendalikan harta, membina harta kekayaan dan bukan hanya semata-mata berharta sebelum menjalani kehidupan berumahtangga.

Keturunannya

Adapun keturunan ini pula bukanlah diperhitungkan daripada segi kasta, kebangsawanan, kedudukannya dalam masyarakat. Ia tentulah diperhitungkan daripada segi nasab turunan seseorang yang tidak bercampur dengan penzinaan.

Apa ertinya.. memilih seorang lelaki dan wanita daripada keturunan yang bangsawan tapi mengalir di dalam tubuhnya darah seorang penzina. Timbul pertanyaan lagi. Adakah jika wanita atau lelaki penzina itu telah bertaubat, maka mereka boleh dinikahi?

Maka, dalam hal ini, sekiranya benar-benar terdapat kesan-kesan taubat itu. Dan nikah itu dapat mengelakkan lelaki dan wanita penzina tadi daripada terus berzina maka boleh juga dipertimbangkan untuk menikahi mereka.

Kecantikannya

Kecantikan wanita atau kekacakan seorang pemuda bersifat subjektif. Seseorang melihat wanita yang kurang cantik, mungkin cantik dalam pandangan lelaki lain. Demikian juga seorang lelaki yang kurang kacak dalam pandangan seseorang wanita, mungkin kelihatan kacak dalam pandangan wanita lain.

Maka, memilih yang cantik itu sememangnya naluri semulajadi manusia. Islam itu adalah agama fitrah. Manusia itu, sama ada lelaki atau perempuan, memang sukakan kecantikan. Dan, hal ini tidaklah menyalahi kemanusiaan.

Ada orang melihat kecantikan akhlak, tutur bicara dan sikap akhlak seseorang. Semua ini adalah daya penarik yang akan mengeratkan hubungan kedua-dua pasangan itu.

Agama

Akhirnya nilai agama itulah yang paling penting sekali dan terutama dalam pemilih calon pasangan itu. Tanpa agama, keluarga yang dibina akan hilang pedoman.

Agama pula bukan dilihat semata-mata pada ketinggian ilmu pengajian agama di institusi pengajian tinggi agama. Seseorang yang beragama itu memadailah dilihat daripada sikap mereka yang cuba mengelakkan diri daripada terjebak ke dalam kancah jenayah.

Mereka yang terjebak dalam disa-dosa kecil tidaklah boleh dianggap sebagai orang yang tidak beragama. Ini kerana, tiada manusia yang terbebas daripada silap dan salah.

Memadailah kita sebutkan di sini bahawa orang yang beragama itu adalah mereka yang berdosa dan sentiasa memperbaharui taubatnya.

Peringatan